Rabu, 15 April 2009

Jemaah-jemaah Islam Yang Pelbagai

Lama tidak menulis. Selepas kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, saya terpanggil untuk menulis sekadar membuka minda pembaca berkenaan dengan satu isu lama tetapi terus wujud dalam dunia dakwah Islam hari ini iaitu kepelbagaian jemaah-jemaah Islam di Malaysia atau dengan gaya bahasa yang lain; Ta`addud al-Jama`ah.

Persoalan yang saya ingin lontarkan di kanvas maya ini adalah "Mengapa perlu ada pelbagai kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia selepas wujudnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Malaysia?".

JIM, ALAMI, ABIM, ISMA dan macam-macam lagi kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia adalah nama-nama yang sering meniti di bibir-bibir aktivis dakwah dalam membincangkan kewajaran jemaah-jemaah ini selepas wujudnya PAS di Malaysia.

Saya sering terfikir mengapa perlu wujud pelbagai jemaah Islam di Malaysia sedangkan seakan-akan misi dan hadaf dakwah setiap kumpulan ini adalah apa yang diperjuangkan oleh PAS itu sendiri. Masing-masing bersetuju (saya tidak tahu kalau ada yang tidak bersetuju) bahawa menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai dasar dan pegangan berkerajaan adalah satu perkara yang wajib.

Sering disebut bahawa PAS hanya mementingkan politik dan tidak mengutamakan tarbiah. Lalu JIM, ALAMI, ISMA dan sebagainya mula menyatakan bahawa mereka mementingkan tarbiah. Kalaulah benar PAS kekurangan tarbiah atau tidak mementingkan tarbiah, maka mengapa jemaah-jemaah ini tidak bertemu Lajnah Tarbiah PAS Pusat lalu menawarkan KEHEBATAN tarbiah mereka untuk disalurkan dan disebarkan kepada rakyat Malaysia yang tidak ada tarbiah.

Kadang-kadang saya merasakan kewujudan golongan-golongan bertarbiah ini hanya melambatkan kemenangan Islam. Mahunya tidak. Kekurangan tenaga di dalam PAS sudahlah tidak diisi . Tenaga tarbiah yang ada pula disalurkan kepada kewujudan jemaah-jemaah ini yang mengkritik PAS dengan alasan bahawa PAS bukan parti tarbiah.

Ada orang buat rumah. Ramai yang tolong untuk siapkan rumah tersebut. Tiba-tiba ada kekurangan. Tak ada yang pandai nak buat tingkap yang sempurna. Ada yang katanya dia pandai nak buat. Tiba-tiba orang yang dikatakan pandai ini tak nak tolong buatkan tingkap. Dia pula cari kawan-kawannya yang lain buat rumah baru. Kenapalah si pandai buat tingkap ini tak sempurnakan dan bantu untuk cantikkan rumah yang pertama?

Satu persoalan.

0 comments: